36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Unit pusat TVET ditubuh selaras pengambilan pelajar

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

UNIT Pusat Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan diwujudkan bagi menyelaras pengambilan pelajar serta sesi pengajian di 1,260 institusi TVET di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, unit itu juga akan bertindak memastikan tidak berlaku persaingan antara institusi TVET yang mendorong berlakunya pertindihan kursus yang ditawarkan.

“Dengan peruntukan besar yang disediakan kerajaan, kita perlu pastikan ada unit yang bertindak menyelaras aspek pengambilan, kursus dan sesi pengajian institusi TVET agar tidak berlaku pertindihan dan persaingan sesama mereka.

“Langkah ini akan memastikan pentadbiran institusi TVET yang lebih efisien selaras peruntukan besar yang disediakan kerajaan bagi program kemahiran itu, yang pastinya mampu meningkatkan lagi nilai kebolehpasaran graduan TVET,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan penandatanganan memorandum perjanjian memperkasa pembangunan TVET di Wilayah Ketengah antara Kolej Ketengah Sdn Bhd dengan Eastern Steel Sdn Bhd dan Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur, hari ini.

Zahid berkata, penubuhan unit itu juga langkah strategik kerajaan bagi memastikan kebolehpasaran lepasan TVET mencapai 100 peratus.

“Buat masa ini, kadar kebolehpasaran lepasan TVET antara 70 hingga 98 peratus dan kita mahu kursus TVET ditawarkan mengikut kehendak industri sama ada perkilangan mahupun perkhidmatan.

“Gaji minimum lepasan TVET juga akan dinaikkan agar melepasi garis kemiskinan,” ujar beliau. – BERNAMA

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Malaysia Negeri Johor menyerbu sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin, Johor Bahru awal pagi ini dan...

Lagi Artikel Berkaitan