Thursday, June 4, 2026

TUDM siasat dakwaan kes buli anggota

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjalankan siasatan berhubung isu buli membabitkan anggotanya yang tular di media sosial.

Kementerian Pertahanan menerusi kenyataan berkata, kementerian mengambil maklum dan memandang serius insiden tersebut serta siasatan terperinci dan telus dilaksanakan dengan serta-merta.

Katanya, TUDM telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan aduan tersebut kini di dalam siasatan pihak polis.

Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa tidak ada kompromi terhadap sebarang salah laku yang melibatkan pelanggaran disiplin, tatatertib, jenayah dan isu berkaitan perundangan seperti buli dan lain-lain yang melibatkan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Tindakan yang tegas mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada akan diambil terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang didapati terlibat dan didapati bersalah,” katanya hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial apabila seorang wanita mendakwa adiknya menjadi mangsa buli di sebuah pusat latihan tentera udara di Kuantan, Pahang.

Dalam perkongsian berkenaan wanita itu mendakwa adiknya menjadi mangsa penderaan fizikal dan emosi sehingga menyebabkan beliau trauma dan ketakutan.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, siasatan tersebut dilakukan susulan satu laporan polis dibuat bapa mangsa yang mendakwa anaknya menjadi mangsa buli di pusat latihan tersebut.

Katanya, polis datang ke kawasan pusat latihan tersebut dan melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan itu.

Tambah beliau lagi, TUDM tidak terima laporan berkaitan isu tersebut kerana bapa mangsa membuat laporan terus kepada pihak polis baru-baru ini.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi agar tidak mengganggu kes yang kini dalam siasatan pihak berkuasa. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan