26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Petisyen Parlimen Kemaman, Masjid Tanah diarah dibicara penuh

Mesti Baca

MAHKAMAH Persekutuan hari ini memerintahkan dua petisyen yang difailkan bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Masjid Tanah dan Kemaman dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan yang dikemukakan calon Barisan Nasional (BN) dan pengundi kawasan Parlimen Kemaman supaya mahkamah mendengar perbicaraan penuh petisyen berkenaan.

Tengku Maimun yang mengetuai panel terdiri daripada hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan mendengar kedua-dua rayuan itu hari ini.

Petisyen pilihan raya difailkan pengundi Parlimen Kemaman, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil sementara bagi Parlimen Masjid Tanah difailkan calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid.

Bagaimanapun, kedua-dua petisyen berkenaan dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya Terengganu dan Melaka masing-masing pada 12 dan 7 Februari lalu selepas mahkamah menerima bantahan awal yang dikemukakan responden kes.

Wan Mohamad Hisham merayu terhadap keputusan mahkamah yang membatalkan petisyen pilihan rayanya bagi membatalkan keputusan pilihan raya bagi Parlimen Kemaman yang dimenangi calon Pas, Che Alias Abdul Hamid.

Sementara, Abdul Hakim merayu keputusan mahkamah yang membatalkan petisyen pilihan rayanya untuk membatalkan kemenangan Ketua Bersatu Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada PRU15 bagi kawasan Parlimen Masjid Tanah.

Dalam keputusan mahkamah, Tengku Maimun berkata, pliding dalam petisyen pilihan raya bagi kedua-dua kes adalah mencukupi.

Oleh itu, beliau memerintahkan kedua-dua kes dihantar semula untuk pendengaran penuh berhubung merit di hadapan hakim Mahkamah Pilihan Raya yang berbeza.

Mahkamah menetapkan 5 Mei untuk sebutan bagi petisyen pilihan raya Abdul Hakim di Mahkamah Pilihan Raya di Melaka dan 8 Mei untuk sebutan petisyen pilihan raya Wan Mohamad Hisham di Mahkamah Pilihan Raya di Terengganu.

Dalam rayuan hari ini, peguam Datuk Wira Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili Abdul Hakim dan Wan Mohamad Hisham berhujah bahawa petisyen pilihan raya tersebut tidak cacat dan sepatutnya didengar berdasarkan merit.

Bagaimanapun, peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Mas Emieyati dan peguam Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili Che Alias masing-masing berhujah bahawa petisyen pilihan raya berkenaan tidak mempunyai butiran berkaitan dakwaan rasuah dan sepatutnya dibatalkan. – BERNAMA

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan