30.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Mahkamah batalkan kemenangan Che Alias di Kemaman

Mesti Baca

MAHKAMAH Petisyen Pilihan Raya Kuala Terengganu membuat keputusan kemenangan calon Pas, Che Alias Abdul Hamid bagi Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu tidak sah dan terbatal.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis yang membuat keputusan itu setelah membenarkan petisyen pilihan raya dibuat oleh Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil daripada Barisan Nasional (BN).

Keputusan dibuat Charles Fernandis yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.

Mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar kos sebanyak RM30,000 kepada pihak pempestiyen.

Pempestisyen diwakili, Datuk Mohd. Hafarizam Harun, Amin Othma dan Norhazira Abu Hayan manakala Che Alias pula diwakili Wan Rohimi Wan Daud dan Saifuddin Othman.

Ahmad Said bersama barisan peguam dan penyokong BN di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu hari ini.

Bagaimanapun mahkamah bersetuju untuk menangguhkan pemakluman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersabit keputusan mahkamah hari ini sehingga 3 Oktober depan sementara menunggu tindakan atau rayuan daripada pihak responden.

Sementara itu, Mohd. Hafarizam ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu berkata, hakim telah memanggil peguam utama kedua-dua belah pihak dan memaklumkan beliau tidak akan memberi apa-apa penangguhan sehingga 3 Oktober ini.

“Cuma hakim akan melewatkan pemakluman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selewatnya 3 Oktober ini tentang keputusan beliau pada hari ini.

Advertisements

“Jika sehingga 3 Oktober tiada permohonan untuk tangguh keputusan atau tiada rayuan (terhadap keputusan mahkamah hari ini), hakim akan maklum keputusan hari ini kepada SPR pada 3 Oktober ini,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Rohimi pula memberitahu, pihaknya akan mengadakan berbincang dengan pengurusan parti berhubungan tindakan yang bakal diambil selepas ini sama ada mengemukakan rayuan atau sebaliknya.

Katanya, sebarang tindakan yang bakal diambil termasuk proses mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu akan diputuskan selepas ini.

Sebelum ini pada 13 Februari lalu, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen itu apabila membenarkan bantahan awal oleh Che Alias berhubung petisyen yang dikatakan mengandungi fakta cacat dan tidak sah bagi menyokong dakwaan rasuah semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun pada 2 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Wan Mohamad Hisham untuk mengembalikan semula petisyen berkenaan menjalani perbicaraan penuh.

Dalam PRU-15 lalu, Che Alias yang juga penyandang kerusi tersebut menang dengan majoriti 27,179 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Beliau mengalahkan Datuk Seri Ahmad Said dari BN, Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) dan Rosli Ab Ghani daripada Pejuang. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kasino di Forest City: Chegu Bard ditahan reman dua hari

BADRUL Hisham Shaharin atau Chegu Bard direman susulan membuat hantaran yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan...

Lagi Artikel Berkaitan