AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia, Isham Jalil menempelak dakwaan yang dibuat bekas pemimpin parti itu, Tan Sri Noh Omar bahawa UMNO kini hanya tinggal kaki bodek, kalah dalam pemilihan ketua bahagian dan cawangan.
Kata Isham, sebaliknya individu yang disebut sebagai kaki bodek itu ialah Noh sendiri kerana sanggup membodek untuk mendapatkan jawatan menteri sebelum ini ketika zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Dulu seingat saya semasa dia (Noh Omar) ingin jadi menteri, dia bodek PM Najib, dan sampai saya pun dia (Noh Omar) bodek, masa itu saya bekerja di Pejabat Perdana Menteri.
“Dulu UMNO yang angkat dia (Noh Omar) sebagai wakil rakyat sehingga jadi menteri. Kini hanya beberapa bulan selepas dia minta dipecat dari UMNO dia sudah mula kutuk dan caci UMNO umpama kacang lupakan kulit. Hanya kerana dia ingin bertanding pilihanraya lawan UMNO,” katanya melalui hantaran di Facebook pada Selasa.
Selain itu, beliau turut mengingatkan bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu agar tidak melupakan jasa UMNO kepada dirinya.
Sebelum ini, Noh mendakwa UMNO kini hanya ditunjangi oleh kaki bodek dalam parti itu yang tewas dalam pemilihan parti.
Noh memetik nama dua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil dan Datuk Lokman Noor Adam yang tewas dalam pemilihan bahagian selain mempersoalkan bagaimana pemimpin tersebut boleh bercakap mengenai suara akar umbi. – Edisi 9