TAYANGAN filem Anwar: The Untold Story yang berkisarkan kisah perjuangan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup menyentuh hati pemimpin nombor satu negara itu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, karya garapan sutradara dari Indonesia, Viva Westi itu berkisar kisah sebenar perjalanan politiknya namun penceritaann yang disampaikan tidak sama 100 peratus.
“Saya sukar mengulas kerana ada episod yang telah kita lupakan kerana sakit dan menyedihkan. Banyak beban tertanggung adalah Azizah, anak-anak dan rakan-rakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menonton tayangan perdana filem berkenaan di Dadi Cinema, Pavillion Bukit Bintang, malam tadi.
Filem terbitan Bianglala Entertainment yang menelan belanja sebanyak RM10 juta dibintangi pelakon terkenal seperti Farid Kamil, Hasnul Rahmat dibantu pelakon Indonesia seperti Acha Septriasa, Piet Pagau serta Dewi Irawan.
Filem yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 18 Mei itu turut menampilkan lagu berjudul Menjaga Cintamu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai runut bunyi filem berkenaan.
Sementara itu, Perdana Menteri turut memuji kehebatan karya sutradara Indonesia itu kerana berjaya meringkaskan pernceritaannya yang bertahun lamanya kepada tempoh sahaja.
“Salut saya buat pasukan produksi yang pintar dan hebat kerana mampu meringkaskan penceritaan selama puluhan tahun kepada filem berdurasi kira-kira 90 minit,” ujarnya. – Edisi 9