NAIB Ketua Wanita Umno, Datuk Norliza Abdul Rahim, dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang baharu.
Perlantikan itu diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, yang menyerahkan surat lantikan berkenaan kepada Norliza hari ini.
“Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pembangunan hartanah, pengurusan harta dan dasar perumahan awam merangkumi sektor kerajaan serta swasta.
“Tahniah dan selamat maju jaya diucapkan. Semoga dengan lantikan ini, beliau dapat menerajui PTPTN dalam memperkasa fungsi dan peranannya bagi mengurus pembiayaan kewangan dan pinjaman pelajaran pendidikan tinggi dengan strategik dan inovatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Norliza yang memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perakaunan), Ijazah Sarjana Muda Perancangan Kewangan Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dan Pengurusan (Perakaunan).
Dalam Pemilihan Umno bagi penggal 2023-2026 pada Mac lalu, Norliza berjaya mempertahankan jawatan Naib Ketua Wanita Umno yang disandangnya pada penggal sebelum ini. – Edisi 9