MAJLIS pertunangan penyanyi, Shila Amzah, 33, dan pasangannya yang merupakan pempengaruh, Ubai MZ atau Ubaidillah, 25, turut diserikan dengan kehadiran bapanya, Datuk ND Lala.
Foto kenangan bersama bapanya atau nama sebenar Amir Amzah Salleh, 62, itu dikongsikan adik kepada Shila, Syada di Instagramnya semalam.
Menerusi gambar tersebut turut kelihatan isteri kepada penyanyi dan pelakon veteran itu, Datin Fauziah Sarman dengan ahli keluarganya dilihat gembira dan tersenyum ketika lensa kamera merakam aksi mereka.
Bagaimanapun, ND Lala dilihat mengenakan warna pakaian yang tidak mengikut tema berwarna ungu yang dikenakan pasangan Shila-Ubai dan keluarga apabila beliau memakai sut berwarna perang.
Syada sebelum itu turut merakam ucapan sempena ikatan yang terjalin antara kakaknya dan Ubai.
“Belum boleh ucap selamat datang ke keluarga kami. Kita hanya ucapkan tahniah kepada pasangan merpati dua sejoli Shila dan Ubai. Tak nak panggil abang,” katanya berseloroh.
Syada yang juga seorang penyanyi sebelum ini pernah menulis surat terbuka kepada bapanya kerana mendakwa sukar berhubung dan tidak mempunyai akses untuk berbuat demikian.
Kemelut rumah tangga ND Lala sebelum ini kecoh apabila didakwa wujud orang ketiga dalam hubungan mereka susulan tindakan Fauziah memuat naik foto beserta nama wanita yang dipercayai perosak rumah tangganya di Instagram.
Fuziah pada 3 April lalu dilihat hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi dan difahamkan bagi tujuan memfailkan penceraian namun laporan itu dinafikan Syada.
Hasil perkongsian hidup ND Lala dan Fuziah, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Shila, Amir Syafiq, 30; Amir Shahir, 28 dan Syada, 25. – Edisi 9