PENYANYI popular, Shila Amzah dan personaliti media sosial Ubai sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz.
Majlis akad nikah telah diadakan di Boathouse Ampang, kira-kira jam 10.27 pagi.
Pasangan ini dinikahkan bapa pengantin perempuan, Datuk ND Lala atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh disaksikan jurunikah Ustaz Haji Mohamad Khairi Hussein.
Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Hamzah menerima mas kahwin sebanyak RM20,000 daripada Ubai manakala hantaran dirahsiakan.
Dalam pada itu , terdapat dua majlis resepsi yang akan diadakan secara sederhana membabitkan keluarga, rakan-rakan artis, rakan kongsi dari pelbagai negara.
Untuk info, pasangan ini memilih busana berwarna putih rekaan Zaimi Zulkafli untuk majlis pernikahan sebagai simbolik satu lembaran baharu buat mereka.
Shila dan Ubai mengikat tali pertunangan pada 27 Mei lalu
Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, namun ikatan perkahwinan tidak berpanjangan apabila bercerai pada Februari 2022.
Hasil perkahwinan, Shila dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia empat tahun. – Edisi 9