32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

M+ Global tawar akses dagangan dengan syarikat terkemuka

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

APLIKASI dagangan digital pertama di Malaysia, M+ Global menyediakan akses kepada rakyat negara ini bagi melabur dalam syarikat global termasuk Apple, Tesla, Alibaba dan banyak lagi.

Pengarah Urusan Malacca Securities Sdn. Bhd., Lim Chia Wei berkata, sebagai permulaan peluang pelaburan dibuka bagi dua pasaran saham terbesar di dunia, Amerika Syarikat (AS) dan Hong Kong.

Katanya, melalui satu akaun, pengguna boleh mendapat akses kepada lebih daripada 7,000 penyenaraian saham di AS, sebanyak 3,000 di Hong Kong dan derivatif boleh niaga tanpa had seperti waran, ETF, CBBC dan REIT.

“Kami cukup gembira untuk membantu rakyat Malaysia menguasai pasaran dunia bersama dengan M+ Global.

“Dengan tawaran akses terhadap pasaran AS dan Hong Kong, rakyat Malaysia kini mempunyai peluang pelaburan yang lebih besar dalam beberapa syarikat terbesar dan paling berjaya merentasi pelbagai sektor dan industri di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran M+ Global di Kuala Lumpur hari ini.

M+ Global ciptaan Malacca Securities Sdn. Bhd. merupakan platform dagangan digital pertama di Malaysia yang menawarkan data masa nyata dengan kerjasama National Association of Securities Automated Quotations (Nasdaq).

Syarikat teknologi global terkemuka itu menyediakan perkhidmatan perdagangan, pertukaran teknologi dan maklumat kepada pasaran kewangan dunia.

Chia Wei berkata, M+ Global ialah satu-satunya platform dagangan digital di negara ini yang menawarkan ciri tapisan Syariah untuk saham global.

Katanya, ini bagi membolehkan rakyat Malaysia mengenal pasti saham yang menepati piawaian Syariah dengan cekap dan tepat pada skala global.

“Ciri unik platform ini ditawarkan melalui perkongsian bersama dengan IdealRatings Inc., peneraju global dalam sektor penyelesaian kewangan Islam.

“Pelabur yang ingin melabur mengikut prinsip Islam kini boleh mengenal pasti dan memperoleh akses segera kepada pilihan saham patuh Syariah yang komprehensif,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perniagaan Malacca Securities Sdn. Bhd., Chuck Lim berkata, syarikat tersebut komited dalam memperbaiki dan memajukan platform itu bagi menyediakan satu pintu gerbang kepada pasaran global yang pintar dan mudah diakses rakyat.

“Pengguna boleh menjangkakan lebih banyak fungsi pada masa akan datang seperti tawaran awam awal (IPO), pesanan bersyarat, pecahan saham AS dan perdagangan opsyen.

“Ini akan dilancarkan pada masa terdekat untuk kegunaan pelanggan secara berperingkat,” ujarnya. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan