26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Peniaga kedai rugi RM343,203 terpedaya skim pelaburan saham

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEORANG peniaga kedai makan mengalami kerugian RM343,203 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham yang dijanjikan keuntungan sehingga 50 peratus.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata tahun lalu, mangsa berhubung dengan seorang individu dikenali sebagai Aqma melalui WhatsApp untuk mengetahui mengenai skim pelaburan saham yang ditawarkan.

Beliau berkata, mangsa tidak mengenali Aqma begitu rapat tetapi sering melihat suspek di Temerloh dengan penampilan yang menarik dan berkereta mewah, sekali gus menyebabkan mangsa terdorong untuk menyertai skim pelaburan saham berkenaan.

“Mangsa dijanjikan dengan keuntungan 50 peratus daripada modal dan setiap 15 hari bermula dari Isnin hingga Jumaat tidak termasuk Sabtu dan Ahad.

“Suspek kemudiannya memberi jaminan akan bertanggungjawab ke atas kerugian yang dialami oleh pelabur.

“Mangsa dimaklumkan skim pelaburan saham adalah berbentuk perdagangan di Bursa Saham Malaysia pada musin Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila kebanyakan masyarakat menggunakan perkhidmatan penghantaran.

“Sebagai percubaan pertama, mangsa membuka 176 akaun dengan modal sebanyak RM72,688 dan dalam tempoh 15 hari, keuntungan akan dibayar tiga pusingan.

“Selepas itu, mangsa menambah 655 akaun secara berperingkat menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 831 akaun dengan modal RM343,203, bukti pembayaran dan slip bank mangsa dihantar melalui WhatsApp,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor BH Online.

Mohd Wazir berkata, selepas beberapa minggu, mangsa menerima sejumlah wang seperti dijanjikan namun selepas itu suspek mula melambatkan pembayaran, tidak mengikut perjanjian asal.

Beliau berkata, sejak beberapa bulan lalu, mangsa tidak lagi menerima wang keuntungan daripada pelaburan seperti dijanjikan dan terdapat beberapa akaun mangsa tidak diberi tarikh untuk kembalikan modal skim pelaburan berkenaan.

Katanya, suspek dikatakan enggan membayar semula modal mangsa dengan alasan dia juga turut kerugian dalam pelaburan terbabit, namun suspek tidak menunjukkan sebarang bukti kepada mangsa.

“Mangsa beranggapan dia ditipu dan wang miliknya dan pelabur lain telah dilarikan untuk kegunaan peribadi suspek. Suspek menyatakan sekiranya mangsa tidak membuat pembayaran seperti yang diminta, akaun pelaburan sedia ada akan ditamatkan serta-merta.

“Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh semalam bagi mendapatkan semula modal serta keuntungan yang dijanjikan suspek,” katanya.

Mohd Wazir berkata, kejadian berkenaan berlaku Disember tahun lalu namun mangsa hanya membuat laporan polis semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan