26.2 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Lawatan kerja ke Australia tingkat hubungan dua hala

Ia berjaya membuka ruang dan peluang perdagangan melalui kerjasama baharu menerusi modenisasi Malaysia-Australia Free Trade Agreement (MAFTA) dan memperkukuh komitmen bersama.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MENTERI Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menyifatkan lawatan kerja tiga harinya ke Australia bermula Khamis sebagai berjaya mempertingkatkan hubungan dua hala yang sedia erat antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, lawatan bersempena Mesyuarat Tahunan Menteri-Menteri Luar Malaysia-Australia (AFMM) Kelima itu turut berjaya menyelesaikan isu-isu bersama di bawah kerangka Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP).

“Ia berjaya membuka ruang dan peluang perdagangan melalui kerjasama baharu menerusi modenisasi Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA) dan memperkukuh komitmen bersama ke arah memelihara kestabilan dan keamanan rantau Indo-Pasifik tanpa sebarang ancaman mana-mana pihak, katanya.

Mesyuarat kali ini telah membincangkan perkara-perkara teras penting termasuklah ekonomi, sains dan teknologi, pendidikan, pertahanan dan keselamatan serantau.

“Perbincangan berjalan dalam suasana baik dan mesra dengan mengambil kira kepentingan bersama kedua-dua belah pihak,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Zambry berkata mesyuarat juga bersetuju untuk mengambil tindakan susulan di peringkat kerja ( working level) di kementerian-kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan.

Advertisements

AFMM merupakan satu mekanisme dua hala di bawah Deklarasi Bersama Kerjasama Strategik antara Malaysia dan Australia yang ditubuhkan pada 2015.

Sehingga kini, sebanyak empat mesyuarat telah diadakan sebelum ini iaitu pada Mac 2017 (Putrajaya), November 2019 (Sydney), Disember 2020 (Kuala Lumpur) dan November 2021 (Kuala Lumpur) serta dihoskan secara bergilir antara Malaysia dan Australia.

Semasa di Adelaide, Zambry berkata, beliau juga mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Australia Selatan, Peter Malinauskas MP.

“Semasa pertemuan tersebut, kami telah bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala yang berkepentingan bersama serta usaha untuk mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat di antara Malaysia dan Australia Selatan,”katanya.

Menurut Zambry, pertemuan itu amat bermakna kerana 2023 merupakan ulang tahun ke-50 bandar raya kembar antara Georgetown, Pulau Pinang dan Adelaide, Australia Selatan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan