PEMBINAAN Jambatan Bagan Datuk di daerah Hilir Perak akan menjimatkan masa penduduk untuk ke pekan berdekatan apabila hanya mengambil kira-kira 15 minit berbanding laluan sebelum ini yang memakan masa hampir sejam.
Menteri Kerja Raya,Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jambatan yang menyeberangi Sungai Perak dengan panjang jambatan dianggarkan 1.5km dan menghubungkan dua kawasan Parlimen iaitu Parlimen Bagan Datuk dan Parlimen Pasir Salak.
“Ia juga dapat memendekkan perjalanan ke pekan-pekan kecil dari kawasan sekitar Pekan Bagan Datuk, Selekoh, Sungai Sumun dan kampung-kampung lain yang berdekatan seperti ke Kampung (Kg) Kayan, Pekan Sri Iskandar, Bota, Parit, Changkat Lada di Perak Tengah, Sitiawan, Manjung dan Lumut.
“Sebelum ini, jarak perjalanan menggunakan Laluan FT069 dan FT005 akan mengambil masa lebih satu jam dan dengan jarak perjalanan melebihi 50 km.
“Namun dengan adanya Jambatan Bagan Datuk ini, perjalanan hanya mengambil masa kurang 15 minit sahaja,”katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Beliau berkata, pembinaan Jambatan Bagan Datuk di daerah Hilir Perak ini tentunya bakal memanfaatkan ribuan pengguna jalan raya di daerah ini.
Katanya, pembinaannya yang dimulakan pada 2017 kini sudahpun lengkap, hanya menunggu masa untuk dibuka kepada orang awam dalam masa terdekat.
Dalam masa sama, Alexander percayq kesan limpahan pembinaan jambatan ini juga akan membantu merancakkan aktiviti dan pertumbuhan ekonomi kawasan setempat, disokong dengan rangkaian hubungan, aksesibiliti dan mobiliti.
“Jambatan ini juga bakal memanfaatkan lebih 70,000 penduduk sekitar termasuk anak-anak kita yang merupakan pelajar di beberapa institusi pendidikan berdekatan seperti Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Asrama Penuh Bagan Datuk (SABDA) dan juga Politeknik Bagan Datuk.
“Syabas saya ucapkan kepada semua pihak terlibat, terutamanyaTimbalan Perdana Menteri yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi yang telah berusaha keras dan bertungkus lumus bagi memastikan kejayaan pembinaan jambatan ini.
“Tidak dilupakan pasukan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya di atas kesungguhan dan kecekalan dalam memastikan pembinaan jambatan ini dapat disempurnakan.
“Semoga usaha dan kerja keras kita dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat Malaysia Madani,”katanya. – Edisi 9