KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) dengan kerjasama PETRONAS Research Sdn Bhd (PRSB) memperkenalkan teknologi baharu penurapan jalan yang berpotensi mengatasi masalah kerosakan dan meningkatkan daya tahan jalan.
Produk turapan jalan lapisan permukaan haus jenis Stone Mastic Asphalt (SMA) yang menggunakan bitumen terubahsuai dengan campuran plastik iaitu PETRONAS Plastic Modified Bitumen itu menggunakan spesifikasi SMA dengan bitumen terubah suai gred PG76.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata proses penurapan setebal 50mm sudah dibuat pada 10 Januari 2023 sepanjang 200 meter di Jalan Persekutuan FT185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, Kelantan.
Katanya, lokasi ini dipilih bagi membuktikan produk mempunyai daya tahan yang tinggi memandangkan kawasan itu adalah jalan berbukit dan turut digunakan kenderaan berat.
“Pemantauan prestasi turapan produk ini berakhir hari ini. Saya turun padang untuk melihat sendiri keberkesanan turapan ini dan dapat saya lihat, laluan ini masih dalam keadaan baik meskipun menjadi laluan utama kenderaan berat, ditambah pula dengan faktor cuaca di kawasan itu.
“Kementerian dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bercadang melaksanakan ujian di jalan-jalan lain yang kerap berlaku kerosakan.
“Saya berharap usaha kementerian dalam mencari penyelesaian jalan rosak dapat berhasil melalui gabungan inovasi dan teknologi terkini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Turut hadir melakukan tinjauan ialah Pengarah Kanan Cawangan Jalan, JKR Malaysia, Datuk Ir Ibrahim Esa dan Penasihat Solusi Teknologi Digital, Teknologi dan Pengkomersilan Kumpulan PETRONAS, Ir Mohamad Faudzi Mohd Yasir.
Alexander berkata, berdasarkan laporan dan pemerhatian, produk ini melepasi ujian bahan dan campuran bahan serta menunjukkan prestasi yang baik di tapak sepanjang setahun pemantauan.
“Secara dasarnya, produk turapan jalan dengan campuran bitumen terubah suai menggunakan bahan buangan plastik tempatan dan ini boleh dijadikan bahan alternatif turapan jalan.
“Produk ini dijangka mampu mengatasi masalah jalan berlubang serta dapat meningkatkan daya tahan terhadap aluran.
“Selain dapat menyahut seruan kerajaan dalam pembinaan mampan melalui penggunaan bahan terpakai sebagai inovasi dan teknologi baharu dalam pembinaan dan infrastruktur negara.
“KKR sentiasa komited dalam memastikan jaringan Laluan Persekutuan kekal berkualiti melalui inovasi tekologi penyenggaraan yang berterusan.
“Ini selaras dengan hasrat kempen MYJalan yang telah dilancarkan oleh KKR, yang ingin menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat dengan penglibatan dan tanggungjawab bersama oleh semua pihak,” katanya. -Edisi 9