27.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Cadangan Rosyam Nor rendahkan martabat wanita – Nancy

Mesti Baca

CADANGAN Datuk Rosyam Nor untuk mewujudkan lebih banyak pusat pelacuran disifatkan sebagai satu tindakan yang merendahkan martabat wanita.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, wanita berhak untuk menerima pengiktirafan dan layanan yang lebih baik daripada menjadi ‘alat’ dalam menyelesaikan masalah sosial.

“Kesedaran dan publisiti yang positif terhadap hak dan sistem sokongan kepada wanita perlu ditanam serta disebarkan kepada umum.

“Cadangan atau gurauan sensitif terhadap wanita tidak boleh dijadikan normalisasi.

“Apatah lagi apabila ia secara terangan bercanggah daripada pelbagai sudut iaitu undang-undang, prinsip, nilai kekeluargaan, budaya dan agama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 57,  berkata, pusat pelacuran perlu ada untuk mengurangkan kes jenayah seperti rogol dan gangguan seksual membabitkan warga asing.

Beliau berkata demikian dalam sesi podcast Hitam Putih Kehidupan yang tular dalam aplikasi TikTok Sabtu lalu.

Advertisements

Dalam pada itu, Nancy menegaskan bahawa pihaknya sentiasa memberi fokus terhadap usaha-usaha memperkasakan wanita.

Katanya, ia termasuk memperkasa gender melalui pelbagai program bagi meningkatkan pembabitan dan kapasiti wanita dalam pelbagai sektor di semua peringkat bagi menyumbang serta menjadi agen pembangunan negara.

“Ia termasuk membantu kerajaan menyediakan ekosistem terbaik dan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan golongan terbabit mempunyai peluang yang adil serta memiliki kerjaya yang lebih baik.

“Kami juga mempunyai sifar toleransi dalam apa jua bentuk keganasan terhadap wanita sama ada secara fizikal, seksual, emosi, mahupun psikologi dan pendirian ini didukung penuh oleh kerajaan Malaysia sejak dahulu lagi serta disokong merentasi kementerian.

“Saya percaya rakyat Malaysia adalah rakyat yang berilmu dan bertamadun.

“Kita perlu bertindak dengan lebih baik serta bijak di masa hadapan untuk menunjukkan contoh yang terpuji kepada generasi akan datang,” katanya lagi. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas Akhyar disamun, Faisal Halim pula disimbah asid

BARU beberapa hari lepas pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid diserang dan disamun di Kuala Terengganu, hari ini Faisal...

Lagi Artikel Berkaitan