26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Kolej Meatech, YEG Academy jalin kerjasama bidang WBL

Mesti Baca

KOLEJ Meatech bersama rakan strategik YEG Academy Sdn Bhd dan Awesome Nomad Sdn Bhd hari ini menjalin kerjasama dalam bidang pengajian industri penerbangan dan pelancongan yang berasaskan pembelajaran terus kerja (WBL) dalam peringkat diploma.

Ketua Pengarah Pemasaran YEG Academy, Azizulhakim Suhaimi, berkata program pengajian yang ditawarkan mempunyai potensi kepada permintaan tinggi di pasaran dengan memberi penekanan kepada laluan kerjaya bagi pelajar.

“Bidang pengajian peringkat diploma yang ditawarkan dan berasaskan WBL sudah pasti memberi jaminan kerjaya bagi pelajar dan permintaan industri yang tinggi juga adalah salah satu faktor pada masa kini.

“Bermula dari YEG Academy ini diasaskan, seramai 87 peratus graduan telah dilahirkan dan hampir keseluruhan terus dipanggil bekerja mengikut kemahiran yang terlatih,” katanya pada sidang media pelancaran kerjasama itu di Auditorium Lincoln, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Sekolah Hospitaliti Penerbangan, Kolej Meatech, Che Rozaina Azizan berkata, konsep WBL adalah satu revolusi pendidikan tinggi yang mampu mengintegrasikan pembelajaran di universiti dengan pembelajaran di industri selain mewujudkan pengalaman bersepadu kepada pelajar iaitu teori dan praktikal.

“Kita menyahut saranan Perdana Menteri yang ingin meningkatkan pembelajaran TVET terutama kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berikutan data menunjukkan 72 peratus pelajar selepas tamat persekolahan tidak berminat menyambung pelajaran, jadi usaha ini dilihat sebagai salah satu cara bagi menanam minat kepada mereka untuk belajar ke peringkat lebih tinggi.

“Pihak industri berpeluang membawa semangat dan idea baharu kepada organisasi selain mempunyai cara baik mengenal pasti bakal rekrut yang akan membawa penyelesaian kos efektif pengambilan pekerja dan mengurangkan latihan di masa hadapan,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya mengalu-alukan lebih banyak lagi industri bekerjasama dengan akademik bagi memastikan kurikulumnya relevan dengan keperluan industri.

Kerjasama dengan YEG Academy di bawah payung Aviation Career Malaysia, menawarkan dua program unik iaitu diploma berkaitan penerbangan selama dua setengah hingga tiga tahun dan program persediaan yang berfokus selama tiga bulan.

Advertisements

Antara bidang yang ditawarkan termasuklah Diploma Teknologi Penyelenggaraan Pesawat, Diploma Pengurusan Kargo Udara dan Diploma Pengurusan Operasi Lapangan Terbang.

Bagi program persediaan pula terdiri daripada kru kabin, khidmat pelanggan dan ejen ramp.

Dalam masa sama, Kolej Meatech dan YEG Academy juga turut bekerjasama dengan Awesome Nomad menawarkan program pengajian peringkat diploma dalam jurusan pengurusan pelancongan membabitkan kolaborasi dalam WBL.

Perunding Utama Awesome Nomad Sdn Bhd, Dr Irwan Dahnil berkata, program ini menawarkan tempoh pengajian selama satu tahun setengah di dalam kelas dan selama setahun mereka akan ditempatkan dalam industri berkaitan.

“Pelajar program jurusan pengurusan pelancongan secara WBL akan dihantar ke luar negara pada semester akhir selama tiga bulan untuk latihan.

“Menerusi syarikat, kami menyediakan khidmat pengurusan pelancongan untuk kembara ke luar negara sebagai ketua kembara atau ‘tour leader’membawa pelancong dari Malaysia melawat negara-negara terkenal khususnya di benua Eropah.

“Program pembelajaran berasaskan pekerjaan atau WBL ini akan memberi pendedahan industri kepada pelajar di sepanjang pengajian mereka,” katanya.

Beliau berkata, setiap graduan bidang pelancongan akan dilatih dengan silibus pengajian tepat lebih-lebih lagi dalam menghadapi situasi apabila pelancong kehilangan pasport di luar negara dan pelancong yang mengalami gangguan kesihatan malah kematian semasa melancong. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan