PELAKSANAAN projek menaik taraf fasiliti pembiakan spesis mangsa untuk harimau malaya di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL), Gua Musang mencapai kemajuan sebanyak 21 peratus setakat 1 Mac lalu.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini bermakna projek yang dimiliki oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) itu tiga hari mendahului jadual.
Projek tersebut kata beliau, dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2026 seperti yang dijadualkan.
“Secara amnya lokasi tapak cadangan ini adalah di dalam kawasan hutan dan berhampiran dengan kuarters PERHILITAN.
“Pusat konservasi ini berpotensi dan sesuai untuk dikelaskan sebagai hutan dimana ia tidak menjejaskan kualiti visual persekitaran dengan reka bentuk asal/semasa serta mengikut keperluan,” katanya selepas meninjau pelaksanaan projek tersebut di Gua Musang, Kelantan hari ini.
JKR telah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi menyiapkan projek pembinaan ini yang dilaksanakan secara tender.
Ahmad berkata, projek itu dibangunkan di atas kawasan seluas 94.073 ekar dengan kos kontrak bernilai RM3.325 juta.
Katanya, skop projek tersebut ialah penyediaan pagar perimeter luar cyclone dan barbed wire sekeliling sempadan kawasan, penyediaan kawasan berpagar cyclone bagi 21 padok termasuk runway rusa.
Ia melibatkan kerja perobohan pagar padok rusa sedia ada, pembinaan menara tinjau dan 47 unit tempat menyorok anak rusa.
Turut dibina ialah kemudahan asas lain seperti fasiliti penyimpanan makanan, palung minuman, tandas, rumah pam serta kerja-kerja mekanikal dan elektrikal.
Beliau berharap kontraktor dan kumpulan projek terus berusaha untuk mempertingkatkan momentum kerja serta mengekalkan kualiti dan rekod
keselamatan di tapak pembinaan agar projek ini dapat disiapkan tepat atau lebih awal dari jadual yang ditetapkan. – Edisi 9

