Tuesday, July 21, 2026

UMNO perlu bertenang, elak keputusan tergesa-gesa 

Pendirian penting mesti perlu dihadam, dibincang dan diputuskan dalam Mesyuarat MKT dan juga Perhimpunan Agung PAU - Ahmad Maslan

Mesti Baca

UMNO perlu mengambil pendekatan berhemah dan tidak membuat sebarang keputusan tergesa-gesa dalam menghadapi gelora politik semasa, khususnya melibatkan masa depan parti, kestabilan kerajaan negeri serta hala tuju Kerajaan Persekutuan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, UMNO perlu mengambil kira sikap pengundi muda, pengundi Melayu, Cina, India dan Bumiputera dengan mengkajinya secara sistematik, analitik, kualitatif, kuantitatif serta kajian rawak di lapangan, dan bukan dengan agak-agak sambil meniarap mencatat apa yang terlintas.

Tegas beliau, pembahagian kerusi perlu difikirkan untuk empat siri lepas satu-satu akan berlaku iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak, Johor dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) yang pasti ada kesan dengan keputusan besar yang akan diambil. 

“Di mana untung UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam beberapa senario dinamika politik pilihan yang ada?,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.

Beliau mengulas suasana politik negara yang dilihat tidak menentu susulan beberapa perkembangan mutakhir termasuk keputusan mahkamah membabitkan Datuk Seri Najib Razak, perubahan kepimpinan kerajaan negeri Perlis serta spekulasi hubungan antara parti-parti politik.

Justeru, tegas Ahmad, pendirian penting mesti perlu dihadam, dibincang dan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan juga Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Beliau berkata, PAU yang dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 17 Januari 2026 bakal menjadi medan penting untuk ahli dan pimpinan menyuarakan pandangan secara terbuka dan berfakta, sekali gus menentukan hala tuju UMNO secara kolektif.

Manakala 24 Januari pula akan berlangsung Pilihan Raya Kecil DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan yang mana UMNO dan Barisan Nasional (BN) terlibat secara langsung untuk mempertahankan kedua-dua kerusi tersebut.

“Maka dalam tempoh beberapa hari ini, mari kita renungkan buruk baik, positif negatif sesuatu tindakan yang ingin diambil kepada kerajaan negeri seperti Pahang, Perak dan Negeri Sembilan selain memikirkan syarat-syarat kestabilan dan rupa bentuk masa depan Kerajaan Pusat,” katanya.

Beliau berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sangat terbuka mendengar semua pandangan setiap kali Mesyuarat MKT dan Mesyuarat Biro Politik diadakan.

Sebelum itu, Pemuda UMNO Malaysia bercadang mengadakan konvensyen khas pada 3 Januari ini bagi membincangkan hala tuju UMNO terutama dalam Kerajaan Perpaduan.

Ia suysy — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan