PERGOLAKAN dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perlis kini semakin membesar ke peringkat nasional apabila beberapa pemimpin utama meletakkan jawatan masing-masing menyebabkan gabungan parti itu hampir lumpuh.
Diketuai Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan peletakan jawatannya bermula 1 Januari ini diikuti Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu mengumumkan perkara tersebut menerusi satu kenyataan tiga perenggan hari ini.
“Saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberikan sepenuh sokongan kepada saya selama saya memimpin PN sejak penubuhannya lima tahun lalu.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua barisan kepimpinan PN dan parti-parti anggotanya,” katanya.
Susulan pengumuman itu, Mohamed Azmin turut melepaskan jawatan termasuk sebagai Pengerusi Perhubungan PN Selangor.
Turut mengambil langkah serupa ialah Dr Sahruddin Jamal yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan PN Johor.
Peletakan jawatan para pemimpin PN itu susulan kemelut yang berlaku susulan wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Pas apabila Menteri Besar dari parti itu, Mohd Shukri Ramli digantikan dengan Abu Bakar Hamzah dari Bersatu.
Pas menilai parti itu lebih layak menerajui Perlis kerana mempunyai jumlah kerusi yang melebihi Bersatu iaitu sembilan kerusi berbanding lima.
Sebelum ini lapan ADUN Perlis diketuai lima ADUN Bersatu dan tiga dari Pas menyerahkan akuan bersumpah (SD) bahawa mereka hilang kepercayaan kepada Mohd Shukri.
Ekoran itu, Pas memecat tiga ADUN berkenaan manakala Speaker DUN pula mengisytiharkan kekosongan ketiga-tiga kerusi tersebut bagi memberi laluan pilihan raya kecil.
Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan kecewa dengan tindakan Pas yang dilihat memilih pendekatan konfrontasi secara terbuka terhadap Istana Perlis, sehingga mencetuskan ketegangan berpanjangan dan mencalar imej PN di negeri berkenaan.
Suara TV yang memetik sumber dalaman PN melaporkan, rasa tidak puas hati Muhyiddin memuncak susulan tindakan Pas berterusan menyerang Istana Perlis.
Sejak beberapa hari lepas Pas melahirkan pelbagai pandangan yang seolah-olah menyatakan Istana Perlis terlibat menjatuhkan Menteri Besar Perlis dari Pas kerana kepentingan projek.
Keadaan menjadi lebih tegang apabila beberapa pemimpin Pas kemudian membuat kenyataan terbuka yang menyerang Istana Perlis, selain mengkritik Mufti Perlis yang mempertahankan kedudukan dan peranan Raja Perlis dalam krisis pentadbiran negeri. — Edisi 9

