PAS hari ini menyatakan kesediaannya untuk menerajui Perikatan Nasional (PN) bagi memperkasakan organisasi dan persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti dan membuat pertimbangan terhadap situasai semasa berkaitan kerajaan negeri Perlis dan PN.
“Pas menyeru semua pihak agar bermuhasabah dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku, dan seterusnya mengambil segala langkah bagi memperkukuh lagi kepercayaan rakyat terhadap PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengenai kemelut Kerajaan PN Perlis, Takiyuddin berkata, Pas komited untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaan parti dalam kerajaan yang diterajui ADUN Bersatu, Abu Bakar Hamzah.
Beliau berkata, ia selaras dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada PRU-15.
“Namun pada masa sama Pas tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu.
“… semua anggota Exco sedia ada daripada Pasakan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan mantan Menteri Besar yang lepas,” katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin menegaskan, Pas komited untuk kekal selamanya menghormati lunas-lunas undang-undang, prinsip-prinsip demokrasi, konsep raja berperlembagaan.
Ini termasuk kebijaksanaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail demi kemaslahatan negeri dan rakyat.
Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan peletakan jawatannya bermula 1 Januari 2026.
Peletakan jawatan Muhyiddin dipercayai kerana kecewa dengan tindakan Pas yang dilihat memilih pendekatan konfrontasi secara terbuka terhadap Istana Perlis, sehingga mencetuskan ketegangan berpanjangan dan mencalar imej PN di negeri berkenaan.
Suara TV yang memetik sumber dalaman PN melaporkan, rasa tidak puas hati Muhyiddin memuncak susulan tindakan Pas berterusan menyerang Istana Perlis.
Sejak beberapa hari lepas PAS melahirkan pelbagai pandangan yang seolah-olah menyatakan Istana Perlis terlibat menjatuhkan Menteri Besar Perlis dari Pas kerana kepentingan projek.
Keadaan menjadi lebih tegang apabila beberapa pemimpin Pas kemudian membuat kenyataan terbuka yang menyerang Istana Perlis, selain mengkritik Mufti Perlis yang mempertahankan kedudukan dan peranan Raja Perlis dalam krisis pentadbiran negeri.
Turut meletakkan jawatan ialah Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Timbalan Pengerusi PN; Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Setiausaha Agung PN dan Pengerusi PN Selangor) serta Dr Sahruddin Jamal sebagai Pengerusi PN Johor. — Edisi 9

