31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

CIQ sesak: Kerja penyelenggaraan waktu puncak dihentikan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengarahkan tiada lagi kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan pada waktu puncak bagi mengatasi kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Itu antara tindakan serta-merta yang perlu diambil perhatian serius oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Bahru.

Selain itu, Alexander turut mengarahkan perkakas kerja mesti disimpan di tempat yang tidak menghalang laluan.

“Lampu di laluan motosikal mesti dinyalakan sepanjang malam dan di waktu keadaan cuaca yang gelap.

“Di samping, keadaan fasiliti di CIQ mesti sentiasa dipastikan dalam keadaan baik bagi memastikan keselesaan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan CIQ checkpoint Johor Bahru pagi tadi.

Alexander berkata, pihak JKR Johor Bahru memberikan jaminan akan sentiasa memastikan perkara-perkara ini diberi perhatian serius.

“Bagaimanapun, saya akan terus memantau bagi memastikan isu-isu ini tidak lagi menyumbang kepada masalah kesesakan yang teruk di CIQ ini,” katanya.

Ujar beliau, isu-isu rakyat seperti kesesakan di CIQ dan keadaan jalan yang teruk di beberapa laluan di Negeri Johor antara yang sering diutarakan kepadanya.

“Untuk menyelesaikan masalah kesesakan di CIQ secara sepenuhnya dalam masa singkat memang agak mustahil.

“Namun saya percaya jika setiap pihak termasuk Kementerian Kerja Raya (KKR) sendiri mengambil langkah proaktif mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang isu yang berada di bawah bidang kuasa kita, walaupun kecil, ia akan memberi kesan positif.

“Selain itu, saya juga sedar laluan motosikal sedia ada yang sempit dan kurang sesuai untuk penunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Saya berpendapat kementerian perlu melihat semula cadangan menaik taraf laluan motosikal yang mungkin boleh mengurangkan kesesakan dan memastikan keselamatan penunggang motosikal.

“Seiring dengan perubahan zaman dan inovasi kenderaan, kita juga harus berfikir ke hadapan dalam pembangunan infrastruktur di dalam negara.

“Berkaitan dengan isu-isu lain di CIQ ini yang berada di luar bidang kuasa saya sebagai Menteri Kerja Raya, saya memberi jaminan akan membawa isu-isu ini kepada agensi dan kementerian yang bertanggungjawab untuk mencari penyelesaian bersama. Saya percaya, kita semua perlu bekerja bersama.

“Justeru, walaupun CIQ bukan berada di bawah kendalian KKR, kita memberi komitmen untuk turut sama berusaha dengan kementerian serta agensi lain termasuk Kerajaan Negeri Johor untuk membantu menyelesaikan isu ini.

Ujarnya, beliau akui terdapat beberapa kelemahan dan telah mengarahkan tindakan serta-merta diambil serius oleh JKR Johor Bahru. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan