JUMLAH perbezaan jaringan menjadi pemisah antara Bayern Munich dan Borussia Dortmund dalam penentuan juara Bundesliga malam tadi yang menyaksikan kelab Bavaria itu menang kejuaraan ke-11 berturut-turut.
Sebelum perlawanan, Dortmund berada di puncak dengan 70 mata, dua mata mengatasi Bayern di tangga kedua namun keputusan aksi terakhir liga menceritakan segalanya.
Bayern yang dibimbing Thomas Tuchel yang berdepan Koln di tempat lawan berada di depan seawal minit kelapan menerusi jaringan Kingsley Coman.
Dejan Ljubicic menyamakan kedudukan buat tuan rumah menurusi sepakan penalti susulan bola terkena tangan Serge Gnabry namun pemain gantian, Jamal Musiala menjadi wira Bayern menerusi gol pada minit ke-89.
Cerita berbeza berlaku di Signal Iduna Park apabila Dortmund yang turun dengan misi wajib menang ketinggalan dua gol di babak pertama hasil jaringan Andreas Hanche-Olsen dan Karim Onisiwo.
Dortmund terlepas peluang memperoleh gol di babak pertama apabila sepakan penalti penyerang, Sebastien Haller diselamatkan penjaga gol, Finn Dahmen.
Namun, skuad bimbingan Edin Terzic itu bangkit di babak kedua, bermula dengan jaringan Raphael Guirrerro pada minit ke-69.
Pemain pertahanan, Niklas Sule menjaringkan gol penyamaan pada minit keenam masa kecederaan namun itu tidak cukup menghalang Bayern daripada dinobatkan sebagai juara Bundesliga.
Bayern menamatkan saingan sebagai juara dengan kelebihan perbezaan jaringan sebanyak 54 gol berbanding Dortmund (39 gol) dengan masing-masing terikat dengan 71 mata. – Edisi 9