29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

3 penjenayah ditahan bersama sejumlah senjata api, peluru di Felda Adela

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS berjaya menahan tiga lelaki termasuk seorang yang dikehendaki polis, bersama sejumlah senjata api dan peluru di Felda Adela, Kota Tinggi, awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ketiga-tiga warga tempatan yang berusia 33, 35, dan 39 tahun itu, ditahan berdekatan Masjid Jamek Al-Ikhwan di Felda Adela, dekat sini, lebih kurang pukul 1 pagi.

Beliau berkata, hasil serbuan itu, polis turut merampas selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri bersama tiga butir peluru, sepucuk pistol jenama Beretta Gardone VT, satu kelopak berisi empat butir peluru 9 milimeter, sebilah pisau dan dadah jenis ganja serta Eramin 5.

Katanya, polis turut menyerbu sebuah rumah di Felda Tunggal, serta merampas dua laras senapang angin dipercayai buatan sendiri, satu butir peluru penabur, tiga kelongsong peluru penabur dan sepuluh biji guli.

“Semakan rekod jenayah lampau juga mendapati dua individu mempunyai rekod kes jenayah dan dadah, manakala seorang individu masih berstatus dikehendaki berkaitan kes jenayah tahun 2016.

“Kita juga (akan) siasat daripada segi penggunaan senjata api ini, (sama ada) dengan tujuan memburu atau sebagainya,”katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora.

Kamarul Zaman berkata, salah satu fokus siasatan pihak polis dan Perhilitan adalah untuk memastikan tiada kegiatan pemburuan haram.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya akan menyiasat sama ada pistol yang dirampas pernah digunakan dalam siri pecah rumah atau samun sebelum ini.

Katanya, ketiga-tiga individu itu, yang positif dadah jenis methamphetamine dan ganja, direman selama tiga hari mulai hari ini hingga 12 Mei.

“Kes disiasat di bawah Akta Senjata 1960; Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya. – BERNAMA

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan