DATUK Seri Aliff Syukri sekali lagi mendapat ‘perhatian’ Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) susulan penerbitan klip video raya terbaharunya.
Ia susulan tiga aduan yang diterima oleh suruhanjaya itu berhubung penerbitan video klip Cak Kun Cak Raya oleh usahawan kosmetik itu.
SKMM dalam satu kenyataan berkata, perhatian dibuat terhadap kandungan video terbabit yang memaparkan Aliff Syukri bersama penari latar berpakaian dan menari yang dikatakan secara tidak sopan dan tidak menghormati bulan Ramadan.
“SKMM sedang meneliti aduan-aduan tersebut dan sekiranya kandungan yang diadukan melanggar peruntukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588), tindakan penguatkuasaan akan diambil,” katanya hari ini, lapor Sinar Harian.
Ujar kenyataan itu lagi, sekiranya disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen terbabit, individu berkenaan boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.
Pada tahun lalu, usahawan tersebut juga mencetuskan kontroversi apabila menghasilkan klip bersama sekumpulan penari lelaki berperwatakan lembut sehingga turut menjadi perhatian SKMM.
Untuk rekod, pada tahun 2021, usahawan berkenaan turut menghasilkan klip video hari raya bertajuk Lala Raya.
Bagaimanapun, video berkenaan tidak mendapat perhatian SKMM, namun masih menjadi kontroversi apabila lokasi pengambaran berkenaan dikatakan tidak mendapat kebenaran untuk digunakan.
Penerbit drama, Datuk A. Aida dilaporkan terkejut sebaik menonton klip video hari raya menggunakan lokasi dikenali iaitu rumah persinggahan penerbit itu sendiri iaitu Tuah D’Manggis di Janda Baik, Pahang.
Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 51, mendakwa ahli perniagaan itu menceroboh dan melakukan penggambaran di beranda dan belakang kediaman tersebut.
-EDISI9