KERAJAAN akan memperkenalkan satu kerangka kawal selia baharu bagi perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari depan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, kerangka kawal selia baharu utu akan diperkenalkan pada 1 Ogos ini.
SKMM berkata, langkah itu selaras dengan keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mesti mematuhi undang-undabg negara.
Katanya, ia demi memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
“Menerusi kerangka baharu ini, semua perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” kata SKMM dalam kenyataan hari ini.
Suruhanjaya itu berkata, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan, dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588.
SKMM berkata, sebelum ini, platform-platform tersebut telah dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000.
“Kerangka kawal selia baharu tersebut hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan dan tidak melibatkan pengguna.
“Langkah ini bakal mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat, serta pengalaman yang lebih baik untuk para pengguna, terutama buat kanak-kanak dan seisi keluarga,” katanya. – Edisi 9

