SEORANG lelaki warga tempatan ditangkap selepas membuat hantaran berbaur ugutan dan perkauman menerusi akaun Facebook Nasrullah Nasir, bulan lalu.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, tangkapan membabitkan lelaki berusia 48 tahun berkenaan dibuat di kawasan Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.
“Suspek disyaki membuat hantaran berbaur ugutan dan perkauman yang dimuat naik pada 23 Mac lalu. Permohonan reman terhadap suspek dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini hingga 5 April,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menjelas lebih lanjut, Noorsiah berkata, kes disiasat oleh Unit Siasatan jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 dan 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang awam agar tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau menyentuh sensitiviti agama dan kaum sehingga membangkitkan ketengangan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.
-EDISI9