PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng hadir menyertai satu majlis berbuka puasa anjuran UMNO Bahagian Balik Pulau pada Selasa.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan memaklumkan, beliau hadir bersama isteri, Betty Chew Gek Cheng dan beberapa pemimpin DAP Pulau Pinang iaitu Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
“Saya bersama Betty dan beberapa pemimpin DAP Pulau Pinang telah hadir program ramah mesra bersama UMNO Bahagian Balik Pulau.
“Program penuh mesra ini turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, Naib Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Sdra Afzal Nasir, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau, Sdra Muhammad Zaki Shah,Ketua wanita UMNO Bahagian Balik Pulau, Sdri Aishah dan pemilik warung Encik Said Bin Mohammad,” katanya melalui hantaran di Facebook.
Beliau turut merakam ucapan terima kasih kepada Ketua Umno Bahagian Balik Pulau, Shah Headan Ayoob Shah atas menerima kunjungan beliau serta diberi layanan istimewa.
Kata bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, program dimulakan dengan agihan bubur kanji kepada penduduk-penduduk tempatan di bazar tepi Balai Polis Sungai Pinang.
“Kemudian kami konvoi sama-sama ke Warung Opah Is untuk berbuka puasa bersama.
“Yang saya tak sangka, masakan berbuka kami sangat sedap dalam Warong Opah yang menggunakan nama ibu pemilik. Gulai ikan, ayam goreng berempah, makan pula dengan ulam dan sambal belacan,” kongsinya. – Edisi 9

