PEMBUKAAN jambatan menghubungkan kawasan Bagan Datuk ke Kampung Sejagop di Perak yang dijadualkan siap sebelum Hari Raya Aidilfitri ini ditunda kepada 31 Mei depan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi kenyataan berkata, keputusan itu dibuat kerana projek tersebut masih mempunyal baki kerja yang belum siap terutamanya melibatkan aspek keselamatan.
Katanya, ini setelah melihat kerja-kerja akhir kontraktor utama dan JKR sendiri yang ingin memastikan semua kerja pembinaan diuji secara komprehensif dan melalui proses pewartaan sebelum dibuka kepada umum.
“Jabatan ingin memaklumkan bahawa tarikh siap projek dan pembukaan jambatan tersebut kepada orang awam adalah pada 31 Mei 2023.
“JKR selaku agensi pelaksana sentiasa komited terhadap penyampaian projek mengikut garis masa, kualiti dan kos yang ditetapkan. Kami juga prihatin dengan kesejahteraan pengguna jalan raya dalam menyediakan jalan raya yang selamat dan selesa untuk pengguna,” katanya semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk ketika melawat perkembangan terkini projek itu pada Januari lalu mengumumkan Jambatan Bagan Datuk itu akan dibuka sebelum Aidilfitri ini.
Kenyataan ini dibuat hasil perancangan serta unjuran oleh kontraktor utama dan penilaian semasa JKR yang optimis jambatan itu akan dibuka kepada orang awam sebelum perayaan berkenaan.
Pembukaan jambatan itu bakal memberi manfaat kepada pengguna jalan raya yang berulang-alik dari kawasan utara Perak ke Lembah Klang khususnya melalui Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) nanti.
Tambahan pula, projek itu juga akan menghubungkan daerah Bagan Datuk dengan bandar-bandar utama seperti Lumut, Manjung, Perk Tengah dan Hilir Perak. – Edisi 9