27.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Geely minat kolaborasi dengan Proton majukan EV

Mesti Baca

GEELY, pengeluar kereta terbesar China menyatakan minat mereka untuk berkolaborasi dengan Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton) bagi memajukan kenderaan elektrik (EV) di negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, syarikat itu terbukti mempunyai kepakaran dalam pengeluaran EV seperti ditunjukkan menerusi jenama Geely Zeekr yang dihasilkan sejak April 2021 lalu.

“Geely telah menunjukkan minat berkolaborasi mengguna pakai teknologi EV baharu untuk Proton dan ekosistem di Malaysia.

“Saya yakin dengan sinergi ini, pembangunan industri kenderaan elektrik di Malaysia akan dapat ditingkatkan sekaligus mencapai aspirasi sifar karbon negara kita,” katanya selepas melawat kilang pengeluaran Geely Zeekr di Ningbo City, China.

Tengku Zafrul pandu uji EV Geely Zeekr 001 ketika melawat kilang pengeluarannya di Ningbo City, China. – Foto: Facebook

Antara modelnya EV yang dikeluarkan di Hangzhou Bay Smart Plant itu ialah Zeekr 001 yang mempunyai prestasi pecutan 0-100 km/j hanya di bawah 3 saat.

“Sempat juga saya test drive (pandu uji) EV mereka, memang power (berkuasa) betul pecut dia!,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Advertisements

Tengku Zafrul berada di China setelah mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengadakan lawatan ke Beijing sebelum ini.

Beliau berkata, hubungan strategik antara Geely (China) dan Proton telah membuahkan hasil sejak kolaborasi antara kedua-dua pihak pada 2017 apabila syarikat kereta nasional itu kembali meraih keuntungan.

Kerjasama antara Proton dan Geely itu dirintis oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Proton sebelum ini merancang untuk menghasilkan EV sendiri menjelang 2027 dan telah berbincang dengan rakan kongsi berpotensi bagi memulakan usaha tersebut.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah berkata, pihaknya tidak boleh tergesa-gesa berbuat demikian tanpa memahami teknik penjualan serta pemasaran kenderaan tersebut.

Katanya semasa Invest Malaysia 2022 November tahun lalu, pelan hala tuju EV Proton telah bermula semenjak 10 tahun lepas tetapi ia terbantut disebabkan permintaan pasaran dan teknologi semasa. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Politeknik Sultan Idris Shah pertahan gelaran FIRA Malaysia

POLITEKNIK Sultan Idris Shah (PSIS), Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan keseluruhan Piala Federation of International Robot Soccer Association (FIRA) Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan