TIGA penyokong bola sepak ditahan kerana disyaki terbabit dalam insiden rusuhan di luar kawasan Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, terdahulu pihaknya mengesan video memaparkan sekumpulan penyokong bola sepak membuat rusuhan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, semakan mendapati kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah malam tadi selepas perlawanan bola sepak antara Penang FC menentang Perak FC.
“Polis berjaya mengawal keadaan dan menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian itu bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Soffian berkata, kesemua yang ditahan iaitu lelaki berusia antara 20 hingga 23 tahun dan ujian saringan air kencing mendapati mereka bebas daripada dadah.
Menurutnya, seorang daripadanya didapati mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.
“Kesemuanya dilepas dengan jaminan polis selepas selesai soal siasat dan kita juga giat mengesan lain-lain individu yang disyaki terbabit.
“Polis menasihati orang awam supaya tidak menularkan video mengenai kejadian itu bagi mengelak sebarang spekulasi,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.
-EDISI9