25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Tohmahan wujud dakwaan terpilih tidak benar – Peguam Negara

Mesti Baca

KEPUTUSAN mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana individu adalah berdasarkan keterangan dan fakta hasil siasatan dan bukan atas desakan mana-mana pihak atau faktor lain.

Menurut Jabatan Peguam Negara, keputusan dibuat dengan adil berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan dan tidak memihak kepada sesiapa berlandaskan teras integriti.

Beliau berkata, ini bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperoleh keadilan yang sewajarnya selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Jabatan Peguam Negara menafikan tohmahan terhadap wujudnya pendakwaan terpilih (selective prosecution), bermotif politik dan penganiayaan (persecution) terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang.

“Sekiranya terdapat keterangan dan bukti kukuh bahawa mana-mana individu telah melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang, individu tersebut akan didakwa berdasarkan peruntukan undang- undang tanpa mengira status dan latar belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pendakwaan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan rayuan pembatalan cukai Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary terhadapnya sebagai terpilih dan berniat jahat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, pendakwaan tersebut merupakan satu tindakan politik berniat jahat dilakukan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semata-mata untuk melumpuhkan dan menghancurkan PN serta Parti Peribumi Bersatu (PPBM).

Katanya, ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tahu PN akan mendapat sokongan padu rakyat khususnya orang Melayu dan Bumiputera dan akan menang besar dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas enam pertuduhan membabitkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan