PENGAMAL media di negara ini bebas melaporkan berita tanpa sebarang kekangan daripada kerajaan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kebebasan yang diberikan itu bagaimanpun perlu dimanfaatkan pengamal media berlandaskan kepada syarat lesen dan undang-undang di negara ini.
Kata beliau, pematuhan itu penting dalam memastikan setiap berita yang diterbitkan adalah sahih sekali gus dapat mengekang penyebarang fitnah dan berita palsu.
Peringatan kepada semua pengamal media juga orang awam, kita (Kementerian Komunikasi dan Digital) tidak kekang atau halang hak media untuk membuat sebarang laporan, hak media untuk menulis.
“Tetapi kekangannya pertama adalah dari segi syarat yang terkandung dalam lesen dan kedua adalah undang-undang sedia ada di negeri ini perlu dipatuhi.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan drama bersiri 26 episod berjudul Cyber999 untuk terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri hari ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap sebuah stesen televisyen swasta susulan laporan satu berita yang disifatkan tidak benar sekali gus melanggar peraturan lesen.
Sementara itu, Fahmi berkata, rakyat di negara ini perlu didedahkan dengan taktik atau modus operansi penipuan dalam talian atau online scammer.
“Saya percaya rakyat perlu didedahkan dengan modus operandi ‘online scammer’ supaya mereka faham kelicikan dan taktik pelaku.
“Maka, hari ini saya melancarkan dokudrama Cyber 999 yang memaparkan kisah benar mangsa penipuan tersebut.
“KKD akan sentiasa berusaha untuk perkukuh keselamatan siber ke arah mencapai Dekad Keemasan Digital,” katanya. – Edisi 9

