26 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

PN persoal kejayaan lawatan Anwar di Arab Saudi

Mesti Baca

Fitri Hazam
Fitri Hazam
Wartawan Edisi 9

PERIKATAN Nasional (PN) mempertikaikan impak lawatan rasmi Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim selama tiga hari ke Arab Saudi dengan menuntut penjelasan pihak kerajaan atas kegagalan Anwar bertemu Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz dan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen PN, Wan Ahmad Fayhsal menyatakan tiada laporan untuk mengesahkan Anwar bertemu dengan kedua-dua pemimpin terbabit setelah selesai lawatan rasmi tiga hari di Riyadh.

Ahli Parlimen Machang itu turut membuat perbandingan layanan yang diberikan kerajaan Arab Saudi terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menjadi perdana menteri.

“Tiada juga laporan menyebut PM dijemput memasuki Kaabah seperti layanan biasa yang diberikan kepada Ketua Kerajaan dalam lawatan rasmi ke Kota Suci.

“Dengan kegagalan PM bertemu Putera Mahkota Mohammed Salman, PM turut gagal mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat, Menteri Kewangan Arab Saudi.

“Oleh itu, adakah matlamat lawatan rasmi ini tercapai dengan ketiadaan pertemuan bersama dua pemimpin ini dengan mengambil kira kedudukan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi,” soalnya menerusi kenyataan pada malam tadi.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Bersatu itu turut menuntut PM Anwar membuat perjelasan mengenai lawatan tersebut di Dewan Rakyat serta mendedahkan keseluruhan kos lawatan terbabit.

“Dalam ketegasan PM melaksanakan langkah penjimatan dalam pentadbirannya, kami menggesa PM membentangkan keseluruhan kos lawatan ini di Parlimen termasuk kos perbelanjaan keselamatan, perjalanan, delegasi dari pejabat PM dan pejabat-pejabat Menteri yang mengiringi PM ke lawatan ini,” jelasnya.

Sebelum ini Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan PM Anwar ke Arab Saudi atas jemputan putera mahkota.

Memetik laporan Bernama menyebut pertemuan itu tidak berlangsung kerana putera mahkota itu mempunyai perubahan rancangan menjelang bulan Ramadan. – EDISI9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan