PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan mencuba sendiri Menu Rahmah yang diperkenalkan di institusi pengajian tinggi ketika singgah makan tengah hari di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, hari ini.
Beliau berkata, menu berkenaan yang baru diluncurkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam yang kini ditawarkan pada harga serendah RM3.50.
Menurutnya, sebanyak 20 universiti awam seluruh negara serta politeknik telah menawarkan menu tersebut setakat ini.
“Saya amat berharap inisiatif murni ini dapat memanfaatkan kalangan pelajar dan mahasiswa di seluruh negara,” katanya dalam Facebook hari ini.
Menu Siswa Rahmah memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pelajar UA daripada kumpulan keluarga B40.
Selesai menjamu selera, Anwar kemudiannya menyertai warga UKM menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia yang terletak kira-kira 500 meter dari Kafeteria Randau Rasa.
“Hari ini menunaikan solat Jumaat di masjid UKM di Bangi bersama mahasiswa,” katanya.
Singgah makan tengah hari sambil beramah mesra dengan masyarakat sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran adalah rutin mingguan Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov lepas.
Selain wakil pelajar, Perdana Menteri turut ditemani Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman serta barisan kepimpinan tertinggi dan pengurusan universiti.
-EDISI9