PENETAPAN harga siling bagi ayam standard dan telur menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan diumum esok selepas dimuktamadkan petang ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kementerian lain sebelum harga siling baharu ditetapkan.
“Kita perlu membuat semakan bekalan sumber protein itu terlebih dahulu, ia mesti dipastikan cukup dan ia tanggungjawab MAFS (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan).
“Biar kita lihat datanya dahulu (kemungkinan harga ayam dan telur turun),”katanya pada sidang media di ibu pejabat KPDN, Putrajaya hari ini.
Salahuddin berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa bekalan sehingga Hari Raya Puasa adalah stabil dan mencukupi.
“Ini hasil daripada data yang diterima daripada Jabatan Veterinar.
“Oleh kerana ada desas-desus (harga turun) beberapa hari ini, KPDN dan MAFS akan berjumpa petang ini untuk periksa secara tuntas data-data terkini.
“Perkara ini akan diumumkan esok hasil pertemuan KPDN dengan MAFS petang ini,” katanya
Dalam pada itu, beliau berkata, harga ayam dan telur di pasaran ketika ini tidak berlaku kenaikan yang luar biasa.
“Kita sentiasa memantau dari masa ke semasa dan merasakan barang-barang kawalan yang telah kita dapat dipantau dengan baik dan kita pastikan tidak berlaku pencatutan harga yang melampau,”katanya. – Edisi 9

