POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mempunyai sebarang akaun media sosial TikTok.
Sebaliknya, JSJN berkata, akaun tersebut dicipta oleh pihak tertentu menggunakan nama Ayob Khan yang baru dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“JSJN menafikan akaun Tiktok @datukayub8 adalah milik Ayob Khan. Akaun palsu tersebut menggunakan nama dan gambar Ayob Khan untuk menarik pengikut di aplikasi berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan akaun tersebut dan sentiasa merujuk sumber yang sah bagi mendapatkan informasi tepat serta sahih,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Ayob Khan ditukarkan sebagai Pengarah JSJ Bukit Aman yang baharu berkuat kuasa 16 April ini.
Beliau sebelum ini pernah menjadi Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman dan kemudiannya dilantik sebagai Ketua Polis Johor pada 6 Mac 2020.
Ayob Khan kembali ke Bukit Aman selepas dilantik sebagai Pengarah JSJN bermula 25 Januari 2022 sehingga kini. – Edisi 9