25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Peralihan kuasa di Melaka langkah ‘pembetulan politik’

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

ANGIN bertiup kencang dari Bandar Hilir bahawa negeri itu bakal melantik seorang Ketua Menteri Melaka yang baharu, Jumaat ini.

Nama yang disebut-sebut mengantikan Ketua Datuk Seri Sulaiman Md Ali ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Jika benar, Ab. Rauf bakal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang ke-14, Insya-Allah.

Manakala Sulaiman telah menjadi Ketua Menteri selama tiga tahun, mulai Mac 2020 dan sekali lagi mengangkat sumpah jawatan selepas Pilihan Raya Negeri pada 21 November 2021.

Mungkin ada yang terlupa bahawa pada tarikh tersebut ADUN Lendu itu mengangkat sumpah jawatan pada pukul 12.58 tengah malam, hari yang sama Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk Kerajaan Negeri dengan kemenangan besar.

Majlis Angkat Sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam itu dihadiri oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Majlis tersebut tanpa kehadiran Ab. Rauf yang dikatakan tidak dijemput walaupun ketika itu beliau adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Majlis angkat sumpah jawatan dilakukan pada tengah malam itu berkemungkinan kerana ketika itu ada ura-ura mengatakan Ab Rauf telah meminta Sulaiman memberi laluan kepadanya untuk dilantik sebagai Ketua Menteri.

Ini kerana Ab Rauf pada ketika itu masih Pengerusi UMNO Negeri Melaka dan sudah menjadi ADUN dengan memenanginya di kerusi Tanjung Bidara.

Untuk rekod, ketika itu Sulaiman merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Masjid Tanah di mana Ab Rauf adalah Ketua Bahagian. Jawatan Setiausaha UMNO Bahagian pula adalah lantikan Ketua Bahagian.

Semalam, seorang Exco Kerajaan Negeri Melaka membuat kenyataan kononnya negeri itu Melaka bakal mempunyai seorang Ketua Menteri ‘pintu belakang’, Ketua Menteri ‘tebuk atap’ dan menuduh sebagai spesis baharu kelahiran UMNO dan BN Melaka.

Maaf, saya tidak bersetuju dengan pandangan Exco tersebut. Saya kira ini bukan Ketua Menteri ‘pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’ tetapi merupakan satu peralihan kuasa.

Sulaiman Md Ali (kanan) mengadap Tun Mohd Ali Rustam bagi melaporkan perkembangan politik negeri. – Foro: FB Ketua Menteri Melaka

Pertukaran Ketua Menteri tersebut adalah satu bentuk langkah-langkah pembetulan politik di peringkat negeri Melaka.

Ini berlaku apabila diperlukan segera iaitu setelah memberi peluang kepada Sulaiman menjadi ketua pentadbiran negeri selama tiga tahun.

Justeru, sudah sampai masanya kepimpinan Kerajaan Negeri diambil alih oleh kepimpinan UMNO Negeri Melaka pascapemilihan UMNO yang baru selesai.

Di bawah kepimpinan baharu UMNO Melaka, Sulaiman merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah.

Secara politiknya, untuk kekal sebagai Ketua Menteri, Sulaiman seharusnya bertanding menentang Ab. Rauf bagi jawatan Ketua Bahagian dan menang bagi membuktikan beliau mempunyai mandat daripada akar umbi.

Bagaimanapun, ini tidak berlaku.

Atau, Sulaiman seharusnya dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka atau bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan menang.

Hakikatnya, Sulaiman bukan Ketua Bahagian, bukan juga Pengerusi Perhubungan Negeri dan bukan Ahli MKT UMNO Malaysia.

Langkah-langkag pembetulan ini juga telah dilakukan di peringkat Kerajaan Persekutuan dengan meletakkan Presiden UMNO Malaysia sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas PRU-15 lalu. – SAIFUL BAHAR MOHD ARSHAD


Datuk Saiful Bahar Mohd Arshad adalah bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada menteri Kabinet dan kini merupakan penganalisis politik. 

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan