25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Lagi penempatan haram dikesan, JIM tahan 32 PATI

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

LAGI penempatan haram pendatang tanpa izin (PATI) dikesan hasil risikan dua minggu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Kali ini, serbuan dilakukan di sebuah penempatan berhampiran Bandar Ainsdale Negeri Sembilan, awal pagi tadi yang membawa kepada penahanan seramai 32 PATI termasuk 15 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.

Pengarah JIM negeri Kennith Tan berkata, kesemua mereka yang berumur lingkungan satu hingga 61 tahun itu ditahan menerusi operasi selama kira-kira empat jam yang bermula pada pukul 1 pagi.

“Dalam operasi itu, seramai 47 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 32 ditahan, manakala bakinya tidak ditahan kerana mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Kesemua mereka dipercayai tinggal di penempatan tersebut sejak beberapa tahun lepas bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sebahagian PATI yang ditahan dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Imigresen Negeri Sembilan.

Beliau berkata, ketika serbuan ada yang cuba meloloskan diri namun gagal dan pasukan operasi juga menemukan beberapa khemah dalam hutan berhampiran yang dijadikan tempat persembunyian mereka.

Tan berkata, penempatan seluas kira-kira lebih seekar itu berada di kawasan permukaan tanah tidak rata dan berbukit sehingga mendatangkan risiko kecederaan kepada semua pegawai terlibat yang juga terpaksa berjalan kaki melalui kawasan hutan sejauh satu kilometer ke lokasi.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Sehubungan dengan itu, kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng di sini untuk tindakan lanjut,”katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, pihaknya sedang mengenal pasti sama ada penempatan berkenaan didirikan atas tanah milik persendirian atau tanah kerajaan negeri yang diteroka secara haram.

“Pihak berkuasa tempatan akan dimaklumkan untuk tujuan perobohan sekiranya ia berada atas tanah milik kerajaan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan