26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Kes demam denggi meningkat 222.8 peratus

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 26,222 kes demam denggi direkodkan sejak awal tahun ini meningkat sebanyak 18,098 berbanding 8,124 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 17 kematian akibat komplikasi demam denggi dicatatkan berbanding empat kematian bagi tempoh sama pada 2022, meningkat sebanyak 13 kematian.

“Pada minggu epidemiologi ke-12 tahun ini, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,469 kes berbanding 2,151 kes pada minggu sebelumnya, meningkat sebanyak 318 kes atau 14.8 peratus.

“Hanya satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu epidemiologi ke-12 tahun 2023,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 81 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 91 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

“52 lokaliti hotspot itu adalah di Selangor, Pulau Pinang (15), Sabah (6), Kuala Lumpur dan Putrajaya (4), Perak (3) dan satu di Kedah,” ujarnya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, survelan chikungunya pula merekodkan hanya satu kes pada minggu ke-12 dengan kumulatif kes sehingga kini adalah 107 kes.

Advertisements

Katanya bagi survelan zika, sebanyak 600 sampel darah dan empat sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Dalam pada itu, beliau berkata, susulan peningkatan kes denggi di Malaysia, Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi telah diaktifkan semula dan satu mesyuarat telah dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri pada 28 Mac lalu.

Katanya, jawatankuasa itu melibatkan 12 kementerian, semua pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri, serta Jabatan Wilayah Persekutuan dalam penentuan dasar dan strategi pencegahan dan kawalan denggi di Malaysia.

“Setiap lapisan masyarakat perlu mengambil tanggungjawab dan bertindak secara proaktif dalam usaha membantu mengurangkan kejadian kes demam denggi yang sedang meningkat ketika ini.

“Pemimpin setempat, Jawatankuasa Penduduk, Badan Pengurusan Bersama (JMB), ahli Rukun Tetangga atau pihak berwajib juga diminta menggerakkan komuniti untuk melakukan aktiviti Cari dan Musnah pembiakan nyamuk Aedes secara berjadual.

“Badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta turut digalakkan menyokong inisiatif kawalan dan pencegahan secara berjadual,” katanya.

Noor Hisham berkata, aktiviti gotong-royong perlu dilakukan bagi membersihkan persekitaran premis dari tempat pembiakan nyamuk Aedes. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan