27.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Hospital Cyberjaya berpotensi jadi hospital rujukan utama

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

HOSPITAL Cyberjaya berpotensi menjadi hospital rujukan utama sebagai kesiapsiagaan menghadapi apa-apa bencana di pintu masuk negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, ini kerana kedudukan Hospital Cyberjaya yang strategik, selain arena sukan Litar Antarabangsa Sepang dan ‘Silicon Valley’ Cyberjaya, yang terletak di daerah Sepang, juga akan dapat memanfaatkan perkhidmatan kesihatan hospital berkenaan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga sedang meneliti keperluan untuk menyediakan sebuah mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) di Hospital Cyberjaya, untuk menampung keperluan semasa serta peranan hospital ini sebagai hospital rujukan bagi sebarang kejadian bencana KLIA,” katanya dalam teks ucapan Menteri, Dr Zaliha Mustafa sempena majlis perasmian Hospital Cyberjaya di sini hari ini.

Beliau berkata, pembinaan Hospital Cyberjaya antara lain bertujuan mengurangkan kadar penghunian katil (BOR) hospital di Lembah Klang yang tinggi, selain mengurangkan kesesakan hospital berdekatan seperti Hospital Serdang, Hospital Kajang dan Hospital Putrajaya.

“Pada masa ini kadar penggunaan katil di hospital awam di daerah Sepang dan Hulu Langat terutamanya Hospital Kajang, melebihi 90 peratus, manakala BOR melebihi 80 peratus di Hospital Serdang dan Hospital Ampang.

Advertisements

Pada masa sama, katanya, kementerian juga memerhatikan serius trend yang meningkat dalam penularan penyakit mental di kalangan rakyat mahupun di peringkat global.

“Salah satu inisiatif dalam Pelan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan 2020 2025 adalah untuk memastikan penyediaan dan capaian perkhidmatan kesihatan mental yang berkualiti serta komprehensif.

“Sejajar dengan itu, kementerian juga sedang meneliti kewujudan perkhidmatan psikiatri di Hospital Cyberjaya dalam masa terdekat.

“Kebolehlaksanaan kedua-dua perkhidmatan tambahan ini di Hospital Cyberjaya sedang diteliti untuk meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan masyarakat pelbagai lapisan di daerah Sepang di samping memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan di negeri Selangor,”katanya.  

Dalam pada itu, Lukanisman turut memaklumkan, Hospital Cyberjaya merupakan hospital awam pertama yang menerima penarafan ‘Green Building Index’ (GBI) tahap platinum, berdasarkan kecekapan tenaga, penggunaan air dan bahan mesra alam melalui pengasingan bahan buangan secara efektif. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan