PENGERUSI Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Seri Ahmad Said komited untuk meneruskan perancangan dan hala tuju yang telah dirangka dan boleh memberi manfaat masyarakat dalam wilayah Ketengah dan Terengganu secara keseluruhan.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas perlantikan tersebut.
“Terima kasih Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kerana melantik dan memberikan kepercayaan kepada saya sebagai Pengerusi Ketengah
“Insya-Allah akan saya teruskan perancangan dan hala tuju yang telah dirangka dan boleh memberi manfaat masyarakat dalam wilayah Ketengah dan Terengganu secara keseluruhan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri semalam menyatakan Ketengah berpotensi dibangunkan menjadi hub pengeluaran makanan dan hub pelancongan di Terengganu.
Selain itu, beliau mahu melahirkan lebih ramai usahawan baharu dalam kalangan rakyat dari kawasan luar bandar yang mampu meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat.
“Mudah-mudahan segala apa yang dirancang akan dipermudahkan oleh Allah SWT amin,” katanya.
Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Ketengah pada 15 Mei tahun lalu sehingga pembubaran Parlimen pada Oktober tahun lalu.
Pelantikan semula ke jawatan tersebut diumumkan oleh Zahid selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, Seberang Takir, malam tadi.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah percaya Ahmad dapat membantu merancakkan lagi pembangunan di kawasan Ketengah yang meliputi tiga daerah iaitu Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.