PEMEGANG lesen jualan langsung diingat supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan mengamalkan etika yang tinggi ketika berurusan dengan pengguna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kelompok itu juga perlu peka terhadap hak dan kepentingan pengguna.
“Kementerian mengingatkan agar pemegang lesen jualan langsung sentiasa mematuhi segala peraturan yang telah digariskan demi menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan aktiviti jualan langsung yang beretika di samping peka kepada hak serta kepentingan pengguna.
“KPDN selaku kementerian bertanggungjawab mengawal selia industri jualan langsung yakin industri jualan langsung ini akan terus berkembang maju dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan geran penyelidikan dan pembangunan dan komersial (R&D&C) Program Khazanah Alam Industri Jualan Langsung kepada lapan syarikat jualan langsung dan satu badan berkanun di KPDN Putrajaya hari ini.
Pada majlis itu turut menyaksikan penyerahan lesen jualan langsung melibatkan 14 syarikat menerima lesen baharu manakala 54 syarikat menerima lesen pembaharuan.
Mengulas lanjut beliau berkata, pemberian geran itu bertujuan memperkembangkan perniagaan jualan langsung khususnya kepada syarikat jualan langsung yang mengeluar,. memasarkan dan mengkomersialkan produk tempatan berasaskan sumber alam semula jadi.
“KPDN berharap pemberian geran ini akan dapat meningkatkan dan memajukan industri jualan langsung serta yakin akan dapat memberi nilai tambah kepada produk-produk khazanah alam tempatan,” katanya. – Edisi 9