24.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 18, 2024

Tiada cadangan mansuh hutang pinjaman PTPTN bersasar – KPT

Pemansuhan hutang pinjaman PTPTN akan membabitkan 1.84 juta peminjam B40 dengan jumlah pelupusan hutang sebanyak RM42.34 bilion

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN tidak merancang untuk memansuhkan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40, buat masa ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata berdasarkan unjuran awal PTPTN, cadangan pemansuhan hutang pinjaman kepada golongan itu akan membabitkan 1.84 juta peminjam, dengan jumlah pelupusan hutang sebanyak RM42.34 bilion.

Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan sentiasa prihatin dan memberi perhatian kepada peminjam PTPTN dan kemudahan membayar balik pinjaman.

“Sehingga kini, terdapat pelbagai cara dan inisiatif dilakukan dalam usaha memudahkan peminjam daripada golongan itu, antaranya penangguhan bayaran balik jika menyambung pengajian atau belum mendapat pekerjaan dan penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan.

“Selain itu, pemberian diskaun bayaran balik jika dilakukan bayaran secara sekali gus dengan penuh dan bayaran balik hanya bermula selepas 12 bulan peminjam menamatkan pengajian bagi memberi ruang membuat persediaan sewajarnya serta memperoleh pendapatan yang stabil sebelum memulakan bayaran balik,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Advertisements

Beliau menjawab soalan asal Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai bila Program Pemansuhan Hutang PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40 akan mula diperkenalkan dan jumlah penerima manfaat.

Sebelum Kerajaan Perpaduan dibentuk, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Ketua Pembangkang mencadangkan pemansuhan bayaran balik PTPTN kepada golongan B40.

Anwar yang juga Presiden PKR mengenal pasti 36 dasar yang perlu diberi keutamaan dalam usaha mewujudkan Malaysia yang lebih baik, termasuk memansuhkan bayaran tol dan bayaran balik PTPTN, khusus untuk golongan B40.

Semua cadangan dasar itu dimasukkan dalam Script For a Better Malaysia, buku yang mengetengahkan visi dan kerangka dasar yang menjadi matlamat Anwar untuk mentransformasikan Malaysia. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Hospital UMS dijangka beroperasi Januari 2026 – Zambry

HOSPITAL Universiti Malaysia Sabah (HUMS) yang kini dalam proses pembinaan dijangka siap sepenuhnya Disember tahun depan dan akan beroperasi...

Lagi Artikel Berkaitan