27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Serbu 4 negeri, polis tumpaskan sindiket pelaburan palsu

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS berjaya menumpaskan sindiket penipuan pelaburan menggunakan pelbagai media sosial hasil serbuan di empat negeri, Selasa lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Johor.

Menurutnya, kejayaan serbuan berdasarkan hasil maklumat, risikan dan pemantauan dilakukan sejak beberapa bulan lalu.

“Sindiket ini adalah dalang di sebalik beberapa skim pelaburan disyaki palsu yang baru ditubuhkan dengan menawarkan kadar pulangan tinggi.

“Tawaran pelaburan dibuat melalui pelbagai medium di laman sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norsiah berkata, skim pelaburan ini dikenali Alpha Mineral Global, Asia Investmen VIP (AIV Trading) Max Profit Guides Empire (Max Profit) dan CGC Revolution and Management (CGC).

Menurutnya, hasil serbuan itu, seramai 29 individu terdiri 19 lelaki dan 10 wanita berusia 24 hingga 38 tahun ditahan.

“Suspek direman antara sehari hingga empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambah beliau, antara barang dirampas adalah 75 unit telefon bimbit, satu surat perjanjian pinjaman, dua keping dokumen salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), lapan batang anak kunci bersama kad akses.

Selain itu katanya, sebanyak 14 unit komputer riba, satu unit tablet, 73 keping kad ATM, dua unit buku pasport serta lima keping sim kad turut dirampas.

“Sembilan buah kereta turut dirampas, selain tiga utas jam tangan, wang tunai berjumlah RM14,501 serta 64 jenis barangan kemas dan pelbagai barangan lain,” katanya.

Beliau berkata, PDRM menjangkakan jumlah mangsa yang terlibat adalah kecil memandangkan skim pelaburan tersebut masih baharu diwujudkan.

Sehubungan itu kata beliau, mana-mana individu yang mungkin telah menjadi mangsa sindiket diminta tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

“PDRM juga ingin mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan membuat semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.

“Dapatkan maklumat lanjut daripada sumber-sumber rasmi seperti semak mule, alert list Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan menyertai skim-skim yang meragukan,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan