28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Radzi nasihat PH jangan hina penjawat awam

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin menasihatkan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak menghina penjawat awam dengan dakwaan menyatakan sektor berkenaan telah lapuk atau tepu dan amat-amat perlu direformasikan.

Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya meluahkan teguran berkenaan selepas membaca artikel tulisan  Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy bertajuk “Ossified public service badly in need of reform”.

“Tulisan P Ramasamy mengaitkan bahawa jumlah kakitangan awam yang terlalu ramai dan didominasi oleh orang Melayu adalah punca yang menyebabkan perkhidmatan awam menjadi lapuk atau tepu.

“Beliau seterusnya mendesak supaya “dominasi Melayu” dalam perkhidmatan awam dihentikan.

“Jadi hujah P Ramasamy ialah perkhidmatan awam telah lapuk atau tepu, puncanya kerana perkhidmatan awam didominasi oleh orang Melayu. Penyelesaiannya ialah untuk kerajaan PH pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim pecahkan dominasi tersebut.

“Ini satu penghinaan kepada perkhidmatan awam dan orang Melayu,” katanya dalam Facebook hari ini.

Kelmarin, Ramasamy dilaporkan menggesa Anwar supaya mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwa didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Radzi menyatakan beliau tidak terlalu terkejut dengan kenyataan P Ramasamy.

“Itulah suara hati DAP yang kita tahu amat alergik kepada sesuatu yang didominasi oleh orang Melayu. Apabila DAP menguasai kerajaan, sudah tentulah usaha untuk memecahkan dominasi ini menjadi tumpuan utama mereka.

“Perjuangan rasisme atau perkauman melampau sebegini jika tidak dibentung boleh menghancurkan masa depan tanah air yang tercinta ini,” katanya.

Malah, tegas Radzi lagi, walaupun DAP cuba menunjukkan kononnya mereka bersemangat Malaysia dan menghormati masyarakat pelbagai kaum, sikap rasis itu ternyata masih amat tebal dalam diri mereka.

“Sekarang P Ramasamy mahu kerajaan campuran PH-BN ini melakukan reformasi dalam perkhidmatan awam.

“Kita tahu reformasi bagi DAP hanyalah istilah untuk menghalalkan rombakan besar-besaran kepada asas-asas kenegaraan dan perlembagaan negara yang telah sekian lama menjadi pasak yang mengekalkan keharmonian Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

Seperti yang dijangka ujar Radzi, Anwar tentunya tidak akan “reprimand” P Ramasamy.

“Perdana Menteri (Anwar) tentunya sukar untuk berkeras dengan DAP kerana parti tersebut mempunyai jumlah kerusi terbesar dalam kerajaan campuran PH-BN.

“Keberadaan Anwa sebagai Perdana Menteri adalah atas ihsan DAP. Maka untuk kekal sebagai Perdana Menteri, hubungan dengan DAP serta aspirasi parti itu mestilah diberi keutamaan.

Malah Radzi juga cuba memberikan bayangan sekiranya perkara yang menyentuh kaum lain disentuh oleh pemimpin Perikatan Nasional (PN), tentulah berduyun-duyun pemimpin gabungan PH-BN akan menuduh Perikatan sebagai rasis.

“Tapi bila Abang Besar DAP bersuara yang jelas bersikap perkauman, tiada pula yang kata Abang Besar ini rasis!

“Cuma saya nak cakap, kita boleh baca “grand design” kerajaan PH yang di dalamnya ada DAP ini. Sekilas ikan di air, kita tahu jantan betinanya!

Dalam pada itu, Radzi mempersoalkan perkara utama yang diketengahkan oleh P Ramasamy dalam tulisan tersebut.

“Adakah perkhidmatan awam di Malaysia menindas kaum bukan Melayu? Saya fikir kalau benar begitu, P Ramasamy pun tak boleh jadi Professor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana UKM “didominasi” oleh orang Melayu.

“Selain P Ramasamy, ramai juga Professor bukan Melayu di UKM, iaitu sebuah universiti yang ditubuhkan atas semangat kebangsaan Melayu,” katanya.

Malah, beliau turut memberi contoh bukan Melayu juga ada menjadi penjawat awam di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang lain.

“Ramai pegawai bukan Melayu diterima masuk dalam perkhidmatan awam dan dinaikkan pangkat atas merit serta kecemerlangan perkhidmatan mereka.

“Ada yang jadi Ketua Setiausaha (KSU), Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU), Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah. Ada juga yang menjadi SME dalam bidang kepakaran masing-masing. Ini bukan perkara baharu,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan