SEBANYAK 42 tan barangan bantuan dihantar ke Syria malam tadi sempena Misi Bantuan Kemanusian kepada mangsa Tragedi Gempa Bumi di Syria.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, barangan bantuan akan dibawa menggunakan dua Pesawat Pengangkut A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Kerja-kerja memunggah barangan bantuan ini kini hampir selesai dilaksanakan. Insya Allah, misi bantuan ini akan disampaikan dengan kadar yang segera kepada mangsa-mangsa di sana.
“Terima kasih diucapkan kepada semua yang berdaftar di bawah Malaysian Humanitarian NGOS kerana bersama-sama menjayakan misi bantuan ini. Semoga segala urusan yang dirancang akan dipermudahkan,” katanya dalam Facebook malam tadi.
Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, bantuan itu merupakan hasil sumbangan ikhlas dan keprihatinan masyarakat Malaysia.
Menurutnya, ia dikumpulkan sejak 15 Februari lalu dan antara barang-barang yang berjaya dikumpulkan bagi membantu mangsa yang terkesan dengan gempa bumi di Syria adalah makanan siap sedia untuk dimakan (Ready-to-Eat); barangan keperluan bayi; bekalan ubat-ubatan, empat buah generator; pakaian dan selimut; kelengkapan perlindungan diri (personal protective equipment); serta khemah, karpet dan indoor separators.
“Hasrat murni rakyat Malaysia ini akan disempurnakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah diarah oleh Kerajaan untuk mengatur gerak dua buah pesawat A400M.
“Penerbangan khas ini akan turut melibatkan 51 kru dan wakil-wakil Kementerian serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) berlepas pada pukul 10.00 malam (tadi) dari Pangkalan Tentera Udara di Subang,” katanya malam tadi.
Ujar kenyataan itu lagi, penerbangan ke Syria ini akan mengambil masa selama 17 jam 30 minit melalui ruang udara beberapa buah negara dan dua persinggahan teknikal.
“Pesawat A400M ini dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik di sebelah tengah hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Wisma Putra menzahirkan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang telah menyahut seruan untuk menghulurkan bantuan bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi di Syria.
“Kerjasama erat antara Agensi-Agensi Kerajaan daripada Kementerian Luar Negeri, NADMA, ATM, PDRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia serta NGO-NGO sejak 15 Februari telah memastikan usaha pengumpulan dan penghantaran barang-barang ini berjalan dengan lancar dan teratur.
“Antara NGO yang turut menjayakan misi ini adalah PBSM, MERCY Malaysia, BeVital Ihsan Johor, RED A Humanitarian, Malaysia For Syria, Global Peace Mission, MAHAR, MCRD, Shine Catholic Church, Yemeni School Foundation dan Syrian People Malaysia.
Rakyat Malaysia yang masih ingin memberikan sumbangan secara tunai kepada mangsa- mangsa gempa bumi di Syria, boleh berbuat demikian melalui Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) sehingga 23 Februari ini.
“Bagi tujuan rekod dan pengeluaran resit, sila nyatakan butiran sumbangan anda melalui pautan https://tinyurl.com/yck9tnen.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai Tabung ini boleh dimajukan kepada pihak Sekretariat TBKLN ([email protected]).
Sumbangan yang dibuat adalah layak untuk mendapatkan pengecualian cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
-EDISI9

