YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan mangsa banjir tiga pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar Kuantan, Pahang hari ini.
Istana negara dalam satu kenyataan berkata, tiga PPS tersebut ialah di Sekolah Rendah Agama Ubudiah Al-Jariah di Taman Guru, Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA yang menempatkan seramai 903 orang daripada 272 keluarga.
“Keberangkatan Seri Paduka Baginda diiringi paduka anakanda Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
“Dalam lawatan itu, Seri Paduka Baginda, selain berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan mangsa banjir, menasihati mereka bersabar dengan ujian dan bersyukur kerana bencana alam yang melanda tidak seteruk jika dibandingkan dengan gempa bumi di Turkiye dan Syria baru-baru ini,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar semua mangsa banjir dapat pulang ke rumah masing-masing dalam masa terdekat.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada jabatan-jabatan dan agensi-agensi yang telah membantu mangsa banjir.
“Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama menghulurkan bantuan kepada mereka yang diuji musibah termasuk bencana banjir,” katanya.
Selain itu menurut kenyataan berkenaan, seluruh rakyat Malaysia juga diseru bersimpati dengan mangsa tragedi gempa bumi di Turkiye dan Syria dan menghulurkan bantuan kepada mereka.
“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama mendoakan keselamatan mangsa tragedi di kedua-dua negara tersebut dan semoga Allah Subahanahu Wa Ta’ala mencucuri rahmat kepada mereka yang telah meninggal dunia,” katanya.
-EDISI9