30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Cubaan seludup rokok bernilai RM250,000 tumpas

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu menggagalkan cubaan menyeludup masuk 410,000 batang rokok putih dianggar bernilai hampir RM 250,000 di Muara Kuala Besut kira-kira jam 3 pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, aktiviti penyeludupan dikesan menerusi maklumat risikan selama beberapa hari.

“Sebuah bot maritim ditugaskan bagi melaksanakan satu operasi khas dan pemantauan di lokasi yang telah dikenal pasti iaitu di sekitar perairan Besut seterusnya maklumat disalurkan kepada tim darat untuk proses penahanan.

“Hasil rondaan telah mengesan sebuah bot enjin sangkut yang bergerak dalam keadaan mencurigakan, menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia bot suspek memasuki kawasan cetek untuk memboloskan diri.

“Daripada pemeriksaan lanjut di sekitar pulau, pasukan operasi menemukan beberapa bungkusan plastik biru berisi rokok putih dipercayai ditinggalkan suspek sebelum melarikan diri,” katanya di sini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, bantuan tim darat telah mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan dan ketika serbuan dibuat sebuah lori muatan rokok berjaya ditahan.

“Sehubungan dengan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d), Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM 100,000 (yang mana lebih tinggi) dan denda tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau RM 500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, “katanya.

Katanya, Maritim Negeri Terengganu akan terus meningkatkan kawalan di sempadan perairan negara dan mengenai kes penyeludupan ini.

“Maritim Malaysia masih giat memperincikan siasatan dengan menggunakan sumber yang ada bagi mengesan dan memburu suspek.

“Sebarang perlanggaran undang-undang, aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan lain-lain kegiatan jenayah di Zon Maritim Malaysia, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Terengganu di talian 09- 6224357 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Afidavit Zahid manifestasi usaha pembelaan terhadap Najib

TINDAKAN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memfailkan afidavit tambahan bagi menyokong petisyen Datuk Seri Najib Razak berhubung kewujudan...

Lagi Artikel Berkaitan