SEPASANG suami isteri ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kejadian letupan di Pandan Indah, Ampang Jaya, Khamis lalu.
Sumber berkata, kedua-dua suspek diberkas di sebuah rumah di Kedah, tengah malam tadi.
Sejurus ditahan, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
“Pada masa ini, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang bagi mendapatkan perintah tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan,” lapor Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan seorang tukang masak maut akibat letupan bungkusan diletak di atas keretanya di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang Jaya.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam, mangsa berusia 28 tahun dilaporkan mahu mengalih sebuah bungkusan diletakkan di atas keretanya jenis Toyota Corolla Altis, selepas dimaklumkan rakan sekerja mengenai bungkusan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bungkusan dalam plastik itu bagaimanapun dipercayai meletup secara tiba-tiba sebaik saja mangsa memegangnya.
“Letupan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius pada tubuh badan dan tangan.
“Mangsa dikejarkan ke Hospital Ampang, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.