32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Suami isteri didakwa membunuh guna bom buatan sendiri

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Khor Swee Boon dan isteri, Ng Hui Yee

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEPASANG suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas tuduhan membunuh seorang pekerja restoran dengan menggunakan bom buatan sendiri di Pandan Indah, Ampang pada 29 Disember lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Khor Swee Boon, 33, dan isteri, Ng Hui Yee, 30.

Terdahulu, pasangan berkenaan kelihatan tenang serta mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Berdasarkan kertas pertuduhan pasangan itu didakwa membunuh Cho Lim Fong, 29, di hadapan sebuah restoran di Jalan Pandan Indah 1/22, Pandan Indah pada jam 8.55 malam, 29 Disember lalu.

Jika disabitkan kesalahan, kedua-duanya akan didakwa dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 35 KK yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Peguam RSN Rayer, yang mewakili pasangan terbabit memohon budi bicara mahkamah membenarkan Hui Yee diberi jaminan mengikut Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah.

“Ia atas alasan tertuduh seorang wanita dan perlu menjaga dua anak berusia lima serta tujuh tahun yang kini di bawah jagaan ibu dan bapa Hui Yee.

Bagi tertuduh lelaki, saya tidak boleh membuat permohonan untuk jaminan. Namun, mahkamah ada budi bicara untuk membenarkan jaminan kepada isterinya.

“Tertuduh tiada risiko untuk melarikan diri dan mengganggu saksi kes ini, selain setuju syarat tambahan seperti melaporkan diri di balai polis berdekatan jika diberi jaminan.

“Majistret sebagai wanita wajar memberi pertimbangan dan membenarkan permohonan jaminan berkenaan,” katanya seperti dilapor BH Online.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin, membantah permohonan jaminan mengikut seksyen itu.

Normaizan kemudian menolak permohonan jaminan itu dan menetapkan sebutan kes seterusnya pada 23 Mac ini untuk serahan dokumen.

Dalam kejadian jam 8.55 malam pada 29 Disember lalu, seorang pelayan restoran maut apabila berlaku letupan ketika memegang bungkusan yang ditinggalkan di bonet keretanya.

Mangsa mengalami kecederaan parah pada anggota badan dan tangan sebelum dikejarkan ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 malam.

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan